Monday, November 29, 2010

TAJUK 1- FAIL INTERNET

Tingkatkan usaha kurangkan kemalangan motosikal
MOHD.Ali Rustam membetulkan pemakaian topi keledar seorang penduduk sambil diperhatikan Abdul Rahim Bakri (tiga dari kiri) pada Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya, Pemimpin Bersama Masyarakat peringkat negeri 2010 di padang Taman Desa Baru, Bukit Baru, Melaka, semalam.



MELAKA 16 April - Usaha bersepadu membabitkan kerjasama semua pihak termasuk agensi di bawah Kementerian Pengangkutan perlu ditingkatkan lagi untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, usaha tersebut perlu ditingkatkan memandangkan statistik kemalangan jalan raya yang berlaku sepanjang Januari tahun ini menunjukkan 12 daripada 17 kematian akibat kemalangan jalan raya terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, jelas menunjukkan pengguna motosikal masih mendominasi statistik kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri ini.
''Statistik ini perlu dikurangkan lagi dengan mempertingkatkan usaha bersepadu oleh semua pihak seperti agensi penguat kuasa, kejuruteraan dan infrastruktur serta pendidikan.
''Untuk itu, saya ingin sarankan kepada semua pengguna jalan raya terutama kepada pengguna motosikal supaya menghormati undang-undang jalan raya selain bertimbang rasa bagi mengelak berlakunya kemalangan maut," katanya.
Beliau berucap merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya, Pemimpin Bersama Masyarakat bagi peringkat negeri 2010 di padang Taman Desa Baru, Bukit Baru di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri, Datuk R. Perumal dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Gan Tian Loo.
Pada majlis tersebut, sebanyak 400 buah topi keledar sumbangan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) diberikan secara percuma kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru.
Di samping itu, sejumlah 1,200 topi keledar 'kura-kura' yang tidak menepati piawaian SIRIM telah dimusnahkan sambil disaksikan oleh Mohd. Ali dan Abdul Rahim.
Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, penunggang dan pembonceng motosikal merupakan golongan paling berisiko tinggi terlibat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian dan kecederaan parah.
Katanya, sepanjang 2009, sebanyak 4,067 daripada 6,745 jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dari seluruh negara.
''Saya harap daripada kempen yang dianjurkan ini dapat meningkatkan tahap kesedaran pengguna jala raya untuk menjadikan aspek keselamatan sebagai budaya ketika berada di jalan raya," katanya.
Di samping itu, Mohd. Ali turut menasihatkan pengguna motosikal tidak menggunakan topi keledar yang tidak menepati piawaian SIRIM seperti topi keledar 'kura-kura' kerana ia berisiko tinggi.
 

No comments:

Post a Comment